Navigasi Al-Quran Berdasarkan Pengecaman Bentuk Tangan

Teknologi dan aplikasi komputer semakin berkembang hari demi hari terutamanya di dalam bidang Interaksi Manusia dan Komputer. Pengecaman bentuk tangan bagi navigasi Al-Quran merupakan satu kaedah terbaru bagi memudahkan pengguna untuk mendekati ilmu agama dengan menggunakan teknologi terkini. Selain itu, kaedah pengecaman bentuk tangan juga mampu membantu warga tua untuk membaca Al-Quran dengan lebih mudah. Projek ini dibangunkan khusus untuk penggunaan Al-Quran secara elektronik, dengan hanya menggunakan bentuk tangan untuk mengawalnya. Bahasa pengaturcaraan C++ dan library OpenCV digunakan untuk membangunkan projek ini. Aplikasi ini mengandungi empat halaman yang terdiri daripada halaman utama dan tiga halaman surah beserta tafsir. Surah-surah yang terlibat di dalam aplikasi ini adalah surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, dan An-Nas. Seramai lima orang pengguna telah menguji aplikasi ini dan pengujian tersebut telah menunjukkan keberkesanan pengunaan teknologi pengecaman bentuk tangan di dalam navigasi Al-Quran. Secara keseluruhannya, kemudahan ini akan menambahkan lagi minat umat Islam untuk membaca Al-Quran di samping mendedahkan mereka kepada teknologi baru dalam Interaksi Manusia dan Komputer.

 

         Aplikasi yang dibangunkan ini menggunakan teknologi pengecaman bentuk tangan untuk navigasi Al-Quran. Al-Quran merupakan sebuah buku atau kitab yang menjadi panduan kepada umat Islam. Menurut ajaran Islam, Al-Quran adalah panduan hidup yang terbaik. Ini kerana kitab ini mempunyai ajaran yang lengkap kepada umat Islam. Umat Islam juga digalakkan untuk membaca, mendalami kitab ini seterusnya mengamalkan setiap ajaran yang terdapat di dalamnya. Pada zaman berteknologi tinggi ini, Al-Quran elektronik telah berjaya dicipta oleh manusia. Al-Quran elektronik adalah Al-Quran sebenar yang diwujudkan di dalam bentuk elektronik di mana kitab ini boleh dibaca atau digunakan dengan menggunakan komputer.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang projek ini sila klik di sini.