PENDIDIKAN RASUL DALAM ADAB MENZIARAHI ORANG SAKIT

PENGENALAN
Umat Islam merupakan satu umat yang sangat mementingkan persaudaraan di kalangan ahlinya. Banyak amalan-amalan yang disyariatkan dalam ajaran Islam menjurus kepada syiar Islam yang melambangkan persuadaraan Islam. Kelahiran bayi dianjurkan dengan aqiqah supaya kegembiraan dikongsi bersama dengan umat Islam yang lainnya. Amalan solat berjemaah dengan adab-adab solatnya dilakukan dengan lurus dan rapat dan tidak mengambil kira pangkat dan darjat. Ziarah-menziarahi sesama ahli keluarga, kerabat dan umat Islam. Begitu juga di saat-saat yang paling genting di kalangan umat Islam iaitu ketika di dalam sakit yang ringan atau berat atau sakit yang boleh membawa maut, umat Islam sangat menekankan syiar persaudaraan Islam.
Ajaran Islam menuntut umatnya supaya memenuhi tuntutan persaudaraan Islam dengan mensyariatkan berbagai-bagai amalan termasuk amalan menziarahi orang sakit. Tuntutan ini sebagaimana pesanan Rasulullah kepada umatnya yang berbunyi (al-Bukhari, 1994: 4777; Muslim, 2001: 3848, al-Nasa’i, t.t.: 1913; Ahmad, 1994: 17900):

عَنْ الْبَرَاءِ بْنُ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَمَرَنَا النَّبِيُّ T بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا بِعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعِ الْجِنَازَةِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَإِبْرَارِ الْقَسَمِ وَنَصْرِ الْمَظْلُومِ وَإِفْشَاءِ السَّلَامِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي

Maksud: “Al-Bara` bin Azib r.a. berkata bahawa Nabi s.a.w. telah memerintahkan kami tujuh perkara dan juga melarang kami dari tujuh perkara. Beliau memerintahkan kami untuk menjenguk orang sakit, mengantar jenazah, menjawab orang yang bersin, menunaikan sumpah, menolong orang yang terzalim, menyebarkan salam dan memenuhi undangan.”

(Al-Bukhari dan Muslim)

Semua perkara di atas dianggap wajib fardu kifayah untuk umat Islam melakukannya dan kita dapati semuanya menjurus kepada persaudaraan Islam. Bagi mendidik umatnya kepada amalan menziarahi orang sakit, Allah S.W.T. dan Rasulnya memberikan berbagai keistimewaan untuk golongan yang suka menziarahi orang yang sakit ini.

KEISTIMEWAAN MENZIARAHI ORANG SAKIT
Menziarahi orang yang sedang sakit salah satu tuntutan persaudaraan. Apatahlagi yang sakit itu merupakan ibu bapa, kaum kerabat dan ipar duai. Syiar Islam dalam amalan menziarahi orang sakit ini amat dihargai oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya s.a.w. sebagai termaktub di dalam hadis-hadis agar umat Islam boleh terdidik diri dengan amalan ini. Antara keistimewaan yang diperolehi oleh seseorang jika mereka mendidik diri mereka dengan amalan menziarahi orang saki ialah:

Dekat dengan Rahmat Allah S.W.T.
Dalam satu menjelaskan bahawa seseorang yang menziarahi orang sakit ini seolah-oleh dia menziarai Allah S.W.T. sendiri. Rasulullah s.a.w. bersabda (Muslim, 2001: 4661),

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ T إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَا ابْنَ آدَمَ مَرِضْتُ فَلَمْ تَعُدْنِي قَالَ يَا رَبِّ كَيْفَ أَعُودُكَ وَأَنْتَ رَبُّ الْعَالَمِينَ قَالَ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ عَبْدِي فُلَانًا مَرِضَ فَلَمْ تَعُدْهُ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّكَ لَوْ عُدْتَهُ لَوَجَدْتَنِي عِنْدَهُ

Maksud: “Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah S. W. T. berfirman pada hari kiamat, “Wahai anak Adam! Aku sakit mengapa engkau tidak menziarahiku.” berkata seorang hamba, “Wahai Tuhan bagaimana aku boleh menziarahimu sedangkan Engkau merupakan Tuhan Pentadbir seluruh alam. Lalu Allah S.W.T. berfirman, “Sesungguhnya hambaku yang bernama pulan sakit dan engkau tidak menziarahinya, ketahuilah sekiranya engkau menziarahinya nescaya engkau akan mendapati-Ku di sisinya.”

(Muslim)

Maksud hadis ini ialah seorang yang menziarahi orang sakit seolah-olah dia menziarahi Allah yang sedang sakit walaupun pada hakikatnya Allah S.W.T. terkaya daripada terkena sakit.

Pahala Syurga dan Kebun-Kebunya yang Subur
Orang yang terdidik dengan amalan ziarah orang sakit ini diberikan ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T. iaitu seolah-olah dia sedang mengumpulkan hasil kebun syurganya selama dia di samping orang sakit yang diziarahinya. Rasulullah s.a.w. bersabda (Riwayat Muslim, 2001: 4658; Ahmad, 1994: 21355),

عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ T قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ T مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ

Maksud: Thauban, iaitu khadam Rasulullah s.a.w. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang menziarahi orang yang sakit, dia dalam keadaan sentiasa menuai hasil kebun sehingga dia balik.”
(Muslim)

Hadis ini membawa maksud bahawa menziarahi orang sakit seolah-olah sedang sibuk beribadat kepada Allah S.W.T. sehinggalah dia kembali ke rumahnya semula.

Doa Para Malaikat
Penziarah orang sakit juga boleh mendapat doa dan selawat daripada para malaikat mengikut waktu mereka datang. Sekiranya seseorang datang menziarahi orang sakit di waktu pagi, dia akan dapat doa dan selawat daripada pagi hingga ke petang. Sekiranya dia datang waktu petang, dia akan dapat doa dan selawat para malaikat pada waktu petang sehingga ke pagi. Apa yang istimewanya bukan satu atau dua malaikat yang berdoa untuknya tetapi sebanyak 70,000 para malaikat. Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya (Abu Dawud, 1994: 2694; Riwayat al-Tirmidhi, 1994: 891; Ahmad, 1994: 928),

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ مَا مِنْ رَجُلٍ يَعُودُ مَرِيضًا مُمْسِيًا إِلَّا خَرَجَ مَعَهُ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ يَسْتَغْفِرُونَ لَهُ حَتَّى يُصْبِحَ وَكَانَ لَهُ خَرِيفٌ فِي الْجَنَّةِ وَمَنْ أَتَاهُ مُصْبِحًا خَرَجَ مَعَهُ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ يَسْتَغْفِرُونَ لَهُ حَتَّى يُمْسِيَ وَكَانَ لَهُ خَرِيفٌ فِي الْجَنَّةِ

Maksud: Ali berkata; tidaklah seorang laki-laki menjenguk orang yang saki pada sore hari melainkan akan keluar tujuh puluh ribu malaikat yang memintakan ampunan untuknya hingga pagi hari, dan baginya kebun di Surga. Dan barang siapa yang mendatanginya pada pagi hari, maka keluarg bersamanya tujuh puluh ribu malaikat yang memohonkan ampunan baginya hingga sore hari, dan baginya kebun di Surga.

(Abu Dawud, al-Tirmidhi, dan Ahmad)

Begitulah beruntungnya orang yang terdidik dengan amalan menziarahi orang sakit. Dengan menjaga hubungan silaturrahim melalui amalan ziarah bermacam-macam ganjaran yang dijanjikan Allah S.W.T. untuk mereka yang boleh disebutkan di sini. Di dalam kitab-kitab hadis masih terdapat bermacam-macam lagi ganjaran yang dijanjikan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya s.a.w.

ADAB DAN AMALAN KETIKA MENZIARAHI ORANG SAKIT
Mendidik diri dengan adab-adab dan amalan ketika menziarahi orang yang sakit merupakan satu didikan yang dianjur dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya. Antara adab dan amalan menziarahi orang sakit ialah bertanya khabar kesihatan kepada keluarga orang yang sakit memberi motivasi kepada si sakit, sentuhan dan pertanyaan, ucapan cepat sembuh, ucapan sakit sebagai penebus dosa, dan mendidik diri menggunakan doa rasulullah s.a.w. ketika sakit

Bertanya Khabar Kesihatan kepada Keluarga Orang yang Sakit
Al-Nawawi (Mustafa al-Khind, 1992: 606/1) menjelaskan bahawa adalah menjadi sunnah bagi orang berziarah untuk bertanya menanyakan khabar kesihatan kepada keluarga orang yang sakit. Amalan ini sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat ketika mereka menziarahi Rasulullah s.a.w. yang sedang sakit sehingga membawa kepada kewafatannya. Satu hadis menjelaskan (Al-Bukhari, 1994: 4092; Ahmad, 1994: 2254),

أَنَّ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ خَرَجَ مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ T فِي وَجَعِهِ الَّذِي تُوُفِّيَ فِيهِ فَقَالَ النَّاسُ يَا أَبَا حَسَنٍ كَيْفَ أَصْبَحَ رَسُولُ اللَّهِ T فَقَالَ أَصْبَحَ بِحَمْدِ اللَّهِ بَارِئًا

Maksud: “Daripada Ali r.a. bahawa dia keluar daripada bilik Rasulullah s.a.w. ketika baginda sedang sakit yang membawa kepada kewafatan Baginda. Lalu semua orang bertanya wahai Abu Hasan bagaimana keadaan Rasulullah s.a.w. pagi ini Ali menjawab, “Dengan segala pujian bagi Allah SWT., Baginda pagi ini beransur pulih.”

(Al-Bukhari)
Menyatakan khabar gembira dan perkataan yang baik kepada para tetamu yang mengunjungi orang yang sedang sakit adalah dituntut sebagaimana yang dinyatakan dalam perbuatan ‘Ali di atas.

Memberi Motivasi kepada Si Sakit
Orang yang menziarahi orang sakit digalakkan mengikut cara baginda yang selalunya memberikan motivasi kepada orang sakit dengan kata-kata baginda. Antara motivasi yang boleh diberikan ialah,

Sentuhan dan Pertanyaan
Al-Nawawi (2000: 279) menjelaskan bahawa adalah baik bagi orang berziarah memberikan sedikit sentuhan kepada tangannya atau menyetuh tangannya kepada dahinya sambil bertanyakan khabar. Tindakan ini sebagaimana yang diajarkan Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis yang menjelaskan (Riwayat al-Tirmidhi, 1994: 2655; Ahmad, 1994: 21207):

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ T قَالَ تَمَامُ عِيَادَةِ الْمَرِيضِ أَنْ يَضَعَ أَحَدُكُمْ يَدَهُ عَلَى جَبْهَتِهِ أَوْ قَالَ عَلَى يَدِهِ فَيَسْأَلُهُ كَيْفَ هُوَ

Maksud: “Daripada Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kesempurnaan ziarah pesakit, iaitu hendaklah seseorang kamu meletakkan tangannya ke atas dahi pesakit, atau pada tangannya, lalu menanyakan keadaanya, bagaimana dia?.”
(Al-Tirmidhi dan Ahmad)

Sentuhan yang lembut dan bertanyakan khabar orang menziarah kepada yang diziarahi sangat dituntut berdasarkan hadis ini.

Ucapan Cepat Sembuh
Hal ini sebagaimana pengajaran Rasulullah terhadap seorang Badwi yang mengadu sakit kepada baginda (Al-Bukhari, 1994: 3347)

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ T دَخَلَ عَلَى أَعْرَابِيٍّ يَعُودُهُ قَالَ وَكَانَ النَّبِيُّ T إِذَا دَخَلَ عَلَى مَرِيضٍ يَعُودُهُ قَالَ لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ فَقَالَ لَهُ لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksud: “Ibn ‘Abbas r.huma. bahawa Nabi s.a.w. masuk kepada seorang arab badwi kerana menziarahinya sakit. Ketika nabi masuk kepada orang sakit itu baginda barkata, “”Sikit sahaja ni, dan akan sembuh insyaallah. Sikit sahaja ni, dan akan sembuh insyaallah.

(Al-Bukhari)

Mendoakan orang yang sedang sakit ketika berziarahi sebagaimana hadis juga merupakan tuntutan ketika berziarah.

Ucapan Sakit sebagai Penebus Dosa
Ini sebagai motivasi Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis yang berbunyi (Ahmad, 1994: 13125),

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ T دَخَلَ عَلَى أَعْرَابِيٍّ يَعُودُهُ وَهُوَ مَحْمُومٌ فَقَالَ كَفَّارَةٌ وَطَهُورٌ

Maksud: ”Daripada Anas b. Malik bahawa Rasulullah s.a.w. masuk menziarahi seorang arab badwi yang sakit demam dan baginda memberikan motivasi kepadanya bahawa (sakitnya itu) merupakan kaffarah dan penyucian (terhadap dosa-dosanya).

(Ahmad)

Berdasarkan hadis ini, boleh juga orang yang menziarahi memberi ingatan kepada si sakit yang diziarahi bahawa kesakitan merupakan penebusan dosa.

Mendidik Diri Menggunakan Doa Rasulullah s.a.w. Ketika Sakit
Rasulullah s.a.w. mendidik para sahabatnya dengan amalan-amalan doa bagi mendoakan orang yang sakit ketika berziarah. Antara doa-doa baginda ialah,

Doa 1: Doa Sakit yang Umum
Doa yang digunakan untuk menyembuhkan sakit yang pelbagai sakit seperti luka dan sebagainya. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan (al-Bukhari, 1994: 5304; Muslim, 2001: 4069; Abu Dawud, 1994: 3397; Ibn Majah, t.t.: 3512; Ahmad, 1994: 23476):

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ T كَانَ يَقُولُ لِلْمَرِيضِ بِسْمِ اللَّهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا بِرِيقَةِ بَعْضِنَا يُشْفَى سَقِيمُنَا بِإِذْنِ رَبِّنَا

Maksud: ‘A’ishah r.a. (berkata) bahawa Nabi s.a.w. tatkala berdoa untuk orang sakit (membaca doa ini):

بِسْمِ اللَّهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا بِرِيقَةِ بَعْضِنَا يُشْفَى سَقِيمُنَا بِإِذْنِ رَبِّنَا

(Doa ini membawa maksud): “Dengan nama Allah ini adalah tanah buml kami dengan campuran ludah sebahagian daripada kami supaya dibaikkan kesakitan di kalangan kami dengan keizinan Tuhan kami.”

(Al-Bukhari dan Muslim)

Doa 2: Doa Sakit yang Umum
Terdapat juga doa untuk kesembuhan bagi orang yang sakit yang tidak dikhususkan kepada sesuatu sakit. Hal ini berdasarkan pengajaran Rasulullah (Bukhari, 1994: 5343; Muslim, 2001: 4062; Ibn Majah, t.t.: 1608; Ahmad, 1994: 23094),

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ T كَانَ إِذَا عَادَ مَرِيضًا يَقُولُ أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِهِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksud: Daripada ‘Aisyah r.ha bahawa Rasulullah s.a.w. ketika menziarahi sesetengah ahli keluarganya (yang sakit) Baginda mengusap menggunakan tangannya yang kanan dan berdoa:

(Ya Allah! Tuhan pentadbir manusia, hilangkan kesukaran, sembuhkanlahnya kerana Engkau sahaja yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang akan meninggalkan kesakitan)”.

(Al-Bukhari dan Muslim)

Doa 3: Doa Sakit yang Umum
Doa ini ada diajarkan oleh Rasulullah kepada Saad sebagai hadis ini (Muslim, 2001: 3097, 1994: 1363),

عَنْ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ T دَخَلَ عَلَيْهِ يَعُودُهُ وَهُوَ مَرِيضٌ وَهُوَ بِمَكَّةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ خَشِيتُ أَنْ أَمُوتَ بِالْأَرْضِ الَّتِي هَاجَرْتُ مِنْهَا كَمَا مَاتَ سَعْدُ ابْنُ خَوْلَةَ فَادْعُ اللَّهَ أَنْ يَشْفِيَنِي قَالَ اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا

Maksud: Sa’ad, bahwa Rasulullah s.a.w. datang menjenguknya ketika dia sedang sakit di Makkah. Kemudian dia berkata; “Wahai Rasulullah, aku khawatir meninggal dunia di bumi yang telah aku tinggalkan, sebagaimana Sa’d bin Khaulah meninggal dunia. Maka Berdo’alah kepada Allah supaya menyembuhkan aku.” Beliau meminta: ” Maka Nabi s.a.w. berdo’a: ‘Ya Allah, sembuhkanlah Sa’d. Ya Allah, sembuhkanlah Sa’d.’ – tiga kali-.

(Muslim)

Doa 4: Doa Sakit di Tempat-Tempat Khusus di Badan
Orang yang menziarahi orang yang sakit yang mana sakitnya adalah sakit di tempat-tempat khusus dibadannya. Eloklah diajarkan kepada si pesakit dengan doa ini. Doa ini dibacakan ditempat-tempat sakit yang tertentu seperti di sendi-sendi, kaki, belakang, betis atau di mana tempat yang sakit ini sebagai hadis yang menjelaskan caranya (Muslim, 2001: 4082),

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ الثَّقَفِيِّ أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ T وَجَعًا يَجِدُهُ فِي جَسَدِهِ مُنْذُ أَسْلَمَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ T ضَعْ يَدَكَ عَلَى الَّذِي تَأَلَّمَ مِنْ جَسَدِكَ وَقُلْ بِاسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

Maksud: “Daripada Uthman b. Abu al-As al-Thaqafi, bahawa sekali dia pernah
mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang kesakitan yang dihadapipada tubuh
badannya sejak dia memeluk Islam. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Letakkan
tanganmu ditempat yang kamu sakit pada tubuhmu dan bacalah bismillah tiga
kali. Kemudian bacalah tujuh kali doa,

أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

(aku berlindung kepada Allah S.W.T. dan kudrat-Nya daripada apa-apa keburukan yang aku perolehi dan aku takuti.)”.

(Muslim)

Doa 5: Doa Kerana Sihir atau Buatan Orang
Rasulullah s.a.w. didoakan Jibril dengan doa bagi sakit akibat daripada perbuatan sihir atau buatan orang (Muslim, 2001: 4056; Ibn Majah, t.t.: 3514; Ahmad, 1994: 9381).

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ جِبْرَائِيلَ أَتَى النَّبِيَّ T فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ اشْتَكَيْتَ قَالَ نَعَمْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ أَوْ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

Maksud: “Daripada Abu Said bahawa Jibril datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata, “Wahai Muhammad adakah kamu sakit.” Baginda, “Benar.” Lalu Jibril pun berdoa untuk Rasulullah s.a.w.:

بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ أَوْ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

(Dengan nama Allah, aku menawarmu daripada segala yang menyakitkan dirimu, dan daripada segala diri dan mata yang bersifat hasad. Allah akan menyembuhkanmu. Dengan nama Allah aku menawarmu).”

(Muslim)
Segala doa-doa ini amat baik diamalkan ketika menziarahi orang yang sedang sakit. Di samping dapat menyembuhkan, pengamalnya juga mendapat pahala yang besar kerana mengamalkan sunah Rasulullah s.a.w. dalam berubat.

PENUTUP
Menziarahi orang sakit merupakan satu amalan yang mulia di sisi Allah dan Rasul-Nya. Diikan din dengan amalan tersebut menyebabkan seseorang itu disukai Allah S.W.T. dan mendapat pahala yang banyak.
Rasulullah juga telah menunjukkan satu sikap yang sepatutnya ada bagi diri umatnya dalam menggalakkan silaturrahim melalui amalam ziarah menziarahi orang sakit ini dengan tuntutan adab dan doa. Dengan amalan-amalan ini, umat akan lebih terdidik dengan keyaqinan yang bulat tentang kekuasaan Allah yang memberi sakit dan menyembuhkan penyakit. Sedangkan hambanya pula perlu berusaha untuk menyembuhkan diri mereka dengan apa sahaja usaha tanpa melupakan Allah S.W.T. Sebagai Penyembuh bagi segala penyakit.

RUJUKAN
Ahmad, al-lmam (1994). Al-Musna Li al-lmam Ahmad b. Hambal. Bairut: Dar al-Fikr. Abu Daud, al-lmam (1994). Sunan Abi Daud. Beirut: Dar al-Fikr. Jil. 1-2.
Al-Bukhari, al-lmam (1994). Sahih Al-Bukhari. Beirut: Dar al-Fikr. Tahqiq: Syekh Abd. Aziz Abdullah. Jilid 1-5.
Al-Nasa’i , al-lmam (1930). Sunan al-Nasa’i bi Sharh al-Hafiz Jalal al-Din al-Suyuti Wa Hasiah al-lmam al-Sundi. Beirut: Dar al-Fikr.
Al-Nawawi (1983). Al-Azkar. Beirut: Dar al-Fikr al-Mucasir.
Al-Nawawi (2000). Al-Azkar (Terj. Syed Ahmad Semait dalam Kumpulan Doa dan zikir al-Adzkar). Singapura: Pustaka Nasional.
Al-Nawawi (1983). Riyad al-Salihin. Beirut: Dar al-Fikr al-Mucasir.
Al-Tirmidhi, al-lmam (1994). Sunan al-Tirmidhi. Beirut: Dar al-Fikr. Jilid 1-5.
Badir, Muhamad Badir, Dr. (1992). Manhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah Fi Tarbiyyat al-lnsan. Mansurah: Maktabah al-Dakwah al-lslamiyyah.
Ibnu Majah (t.t). Sunan Ibnu Majah. Beirut: Dar al-Fikr. Jil. 1-2.
Ibnu Majah, al-lmam (1954). Sunan Ibnu Majah. Mesir: Dar al-Fikr. Jilid 1-2.
Ibnu Manzur, Jamal Al-Din Muhammad Ibn Mukram, (1990). Lisan al-cArab. Bairut: Dar Sadir
Muslim, Abu al-Husain Muslim b. al-Hajjaj b. Muslim al-Qushairi al-Naisaburi (2001). Sahih Muslim. Beirut: al-Maktabah al-Asriyyah.
Mustafa Said Al-Khin, Mustafa Al-Bugha, Al-Ustaz Mahyuddin Mustawin, Al-L^taz Ali Al-Syirbiji dan Al-Ustaz Muhammad Amin Lutfi, (1992). Nuzhat al-Muttaqin Sharh Riyad al-Solihin min Kalam Sayyid al-Mursalin. Bairut: Mu’assah al-Risalah. Juzuk 1-2.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image